Isnin, 27 April 2009

Masing-masing ada jasanya

Salam sejahtera buat semua rakan-rakan yang saban hari berada di medan juang. Perjuangan kita ini bukannya suatu perniagaan untuk mendapat untung dunia yang besar dan lumayan, akan tetapi ianya adalah suatu perjuangan yang menelan ramai syuhada'/pejuang. Untuk berada di takuk sekarang ini (mood kemenangan), kita perlu ingat ramai isteri-isteri jadi janda, ramai anak-anak menjadi yatim dan keluarga kehilangan orang tersayang. Kita bangkit dengan kesukaran dan kepayahan. Tidak kurang harta yang dikorbankan dan tidak kurang keringat yang mengalir.
Ingatlah sahabat-sahabat sekelian tentang susahpayah ketika berjuang ini. Ingatlah ketika kita derita bersama dalam perjuangan. Ingatlah ketika minum air segelas dan makan sepinggan. Ingatlah ketika kita sama-sama pedih mata kerana bom gas dari fru. Ingatlah ketika kita menghantar pejuang-pejuang kita ke penjara isa. Ingatlah ketika kita menghantar pejuang-pejuang kita mengharungi ranjau dan duri...ingatlah.
Semua ini mampu mewujudkan kekuatan perpaduan di antara kita, semangat setia kawan di kalangan kita, kekuatan persahabatan antara jiwa dengan jiwa kita. Janganlah disebabkan pertandingan dan perebutan jawatan yang bakal berlaku akan menjadikan kita renggang dan bermasam muka, juga berjauh hati. Kita bukan berada di saf lawan kita yang saban hari menghulurkan pengeras untuk syarat perjuangan mereka, kita bukan seperti lawan kita yang sanggup melakukan apa sahaja demi melayani keinginan individunya. Perjuangan kita adalah perjuangan bertunjangkan ketaatan dan kepatuhan kepada ketua, kerana inilah kekuatan kita dan kesepaduan saf kita.
Dalam surah sof Allah berfirman "Sesungguhnya Allah menyukai orang berjuang dalam sof yang satu, seumpama mereka adalah satu binaan yang kukuh". Inilah kaedah kita berjuang, ayat ini tetap menjadi bacaan kita malam dan siang, penawarnya terlalu mujarab. Kalau sesiapa yang berjuang tidak memahami keinginan ayat ini, maka mereka perlu merujuk kembali tafsirannya yang disebut oleh para ulama haraki seperti Syed Qutb dan Hassan Al Banna.
Kita tidak mahu pertentangan merebut jawatan menjadi alat yang memecah belahkan kita sebagaimana lawan kita yang sudah tidak mampu balik kembali ke asal perjuangan mereka, umpama retak menanti belah. Perjuangan kita diasaskan oleh aqidah, kepercayaan, tanggungjawab dan sebagainya. Ini yang menjadikan kita selama ini kekal dengan prinsip perjuangan yang tidak pernah goyah selama ini.
Kita mempunyai penyokong-penyokong yang sanggup bergolok bergadai demi perjuangan, yang sanggup menghabiskan seluruh harta bendanya untuk penerusan perjuangan. Kenapa kita tidak mengenang semua suasana ini.
Pimpinan yang sedia ada telah membuktikan kemampuan mereka, 5 negeri telah berada di tangan kita. Kita berjaya meraih kemenangan dengan bantuan ALLAH. Inilah gambaran kepada kejayaan pimpinan kita sekarang. Apakah kepimpinan yang ada sekarang ini perlu disisihkan, kalau perlu apa pula sebabnya dan apa pula alasannya. Biarlah kepentingan jemaah dikedepankan bukan kepentingan individu diutamakan, jangan pula kita dihantui dengan sikap berkem-kem yang mampu memporak perandakan kesepaduan yang telah sekian lama kita bina dengan begitu murni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan