Jumaat, 30 Oktober 2009

Besarnya ujian buat pemimpin

Assalamualaikum
Buat rakan-rakan seperjuangan, ramai dari kalangan ahli kita yang setia amat sedih dan pilu hati dengan apa yang berlaku kepada jemaah kita sehari dua ini. Seringkali soalan di benak terukir, mengapakah rakan-rakan kita yang sepatutnya mengukuhkan jemaah serta memajukan jemaah sanggup melakukan sesuatu yang diibaratkan seumpama "lempar batu sembunyi tangan".
Setelah ramai cendikiawan serta tokoh-tokoh berduyun-duyun masuk dan menyertai perjuangan kita, sepatutnya jemaah kita makin maju dan makin kukuh serta kemas safnya. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya pula.
Marhalah Madinah yang kita lalui sekarang ini merupakan marhalah ujian yang hebat daripada marhalan peningkatan ataupun permulaan. Kita perlu sedar bahawa, apabila perjuangan menang dan dikenali ramai, kita sepatutnya meneruskan kerja-kerja memenuhi kemenangan.
Sesungguhnya perjuangan Islam yang kita uruskan ini kerap benar menemui ujian di peringkat pucuk pimpinan tinggi. Penapisan demi penapisan seringkali berlaku kepada perjuangan kita ini. Hasil dari penapisan ini maka berlakulah keputusannya, ada yang ditapis dengan memberi maksud terus meninggalkan jemaah.
Dato' Asri presiden pas, orang kuat kita akhirnya menemui ajal dalam keadaan beliau bersama dengan UMNO. Ust Nakhaie Haji Ahmad tokoh yang hebat ketika dalam pas, kita hampir kebanyakan anak-anak muda tidak langsung mengenali beliau. Ramai lagi yang telah kecundang hasil dari penapisan ini.
Penapisan ini akan terus berlaku sepanjang zaman, golongan yang tidak ikhlas dengan perjuangan akan ditapis, golongan yang mementingkan kepuasan hati akan terhakis keluar. Sehingga kini saya merasakan betapa wadah yang kita berada di dalamnya adalah satu wadah yang benar-benar wadah yang diredhai oleh Allah.
Sedikit nukilan hati agar parti kita terus dengan perjuangannya dan terus melayarkan bahtera perjuangan biarpun badai melanda setinggi bukit.
Akhukum fillah - Ketua Urusan Ulama Ampang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan